Perjalanan Ini

Perjalanan Ini

Koleksi

Friday, March 19, 2010

Kekuatan Saf III : Syura

Bismillahirrahmanirrahim...dan Assalamualaikum.

(Catatan: Ini adalah siri ketiga daripada pengamatan diri tentang kekuatan saf, berdasarkan pengamatan sendiri, kajian yang tidak seberapa, atau pengalaman sendiri yang masih 'muda' dalam arena ini. Diri ini masih belajar, maka jika tersalah, sila tegur ya. Post ini adalah sekadar pandangan peribadi tentang tajuk, meskipun diri ini mungkin tidak layak lagi untuk berbicara hal besar ini. Diulang, pandangan peribadi. Sama-samalah kita belajar ya.)
"..Maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan tetap bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.." [Ali-Imran, 3 : 159] 
Ulasan mengenai asbabun nuzul ayat ini boleh dibaca di sini. Juga tentang konteks syura. Bacalah ya. Rasulullah SAW juga mengamalkan syura, jadi, wajarlah kita untuk sama-sama mengikuti sunnah baginda, bukan?

Sebelum meneruskan penulisan, penulis hendak menjelaskan bahawa dirinya sendiri pernah terlibat dalam perbincangan syura. Dalam usrah juga ada syura kecil-kecilan, bukan? Murabbinya mengambil peranan sebagai qiyadah (pimpinan) kecil, dan para mad'u (ahli usrah/anak usrah) menjadi ahli syura kecil.



Mungkin akan ada yang menyatakan, jika sudah kuat hubungan dengan Allah, dan sudah tiada lagi asbab untuk Allah tidak memberikan pertolongan, serta ukhuwwah yang rapat sudah dibentuk, maka peringkat seterusnya dalam kekuatan saf harakah Islam (gerakan Islam) itu ialah melalui sistem tanzim (organisasi) yang kukuh.

Bagi penulis, tidak begitu.

Untuk menubuhkan salah satu tanzim atau wadah atau jemaah sekalipun, semestinya memerlukan perbincangan yang kukuh, bukan? Di situlah kita melihat musyawarah atau syura, sesama para ahli perintis.

Setelah itu, apabila hendak merencanakan sesuatu perancangan, atau hendak melaksanakan sesuatu kegiatan, atau hendak membicarakan pembaharuan hala tuju setelah beberapa lama, para ahli akan bersama-sama berkumpul dan berbincang. Bersyuralah itu, bukan?

Di sini sudah nampak kepentingan dan kekuatan syura. Dan, mengatasi kekuatan tanzim itu sekali. Kerana sesuatu tanzim itu akan roboh dan hancur, kerana tiadanya syura yang dilaksanakan secara baik sesama para qiyadah. Tanpa syura yang mantap, dan tertib, maka tiada langsung perbincangan dan diskusi yang dapat dilaksanakan. Justeru, tanzim langsung tidak akan dapat berfungsi, kerana kerosakan di atas akan membawa kepada kerosakan hinggalah ke lapisan penggerak yang terakhir sekali.

Syura ada akhlak-akhlaknya. Sepertimana untuk menubuhkan sesuatu organisasi itu ada perlembagaan atau peraturan yang ditetapkan oleh para perintis atau qiyadah organisasi itu, seperti itu jugalah dalam syura, ada akhlak-akhlak yang wajar dipatuhi.

Akhlak 1: Perbincangan yang baik dan menyeluruh.
Dalam syura, setiap daripada ahli majlis berhak untuk mengutarakan pandangannya secara menyeluruh. Justeru, jika ada suatu usul itu dicadangkan, dan ada yang tidak bersetuju dengan usul tersebut, maka individu tersebut dibenarkan untuk mengemukakan hujah-hujahnya dari segala aspek yang dia mampu. Justeru, dalam syura, tidak boleh ada bisikan-bisikan seperti "Dia ini, orang sudah cadang idea ini, terima sahajalah". Tidak. Syura tidak menutup potensi para ahlinya. Syura tidak mengehadkan pandangan para ahlinya. Harus dinyatakan di sini, proses di sini masih lagi dalam proses PERBINCANGAN sesama ahli majlis, belum mencapai KEPUTUSAN lagi ya.

Akhlak 2: Apabila telah diputuskan syura, maka hendaklah mengikuti.
Apabila perbincangan secara teliti dan menyeluruh telah dilaksanakan, dan kesemua pihak yang hendak mengemukakan hujah sama ada untuk menerima atau menolak usul yang dicadangkan telah mengemukakan hujah mereka, maka keputusan diambil, sama ada untuk menerima atau menolak usul. Dan, apabila keputusan sudah diputuskan, maka setiap ahli syura hendaklah melaksanakan taujih (arahan), jika diberi, setelah usul itu diputuskan. Ya, kena dilaksanakan. Kerana itulah keputusan syura. Hendaklah diingatkan, segala keputusan itu hendaklah tidak ada bercanggah dengan Al-Quran atau Hadis Rasulullah SAW, barulah prinsip sami'na wa ata'na (kami dengar dan kami taat) sah untuk dilaksanakan.

Akhlak 3: Jangan berbicara lagi tentang keputusan syura itu, setelah tamat syura. Yakinkanlah orang lain.
Ya, tidak perlu lagi ada sembang-sembang di belakang tabir tentang keputusan syura, setelah ia diputuskan dalam majlis. Sebaliknya, setiap ahli syura hendaklah meyakinkan orang lain dengan keputusan itu, dan bersama-sama melaksanakan keputusan itu.

Di sini, ada suatu ringkasan yang lengkap dan padat tentang akhlak bersyura yang ditanya oleh seseorang, dan dijawab oleh seorang sahabat (diedit sedikit daripada versi asal):
______________________________________________________________________________________________________________

Katakan saya pernah berada sebagai ahli syura. Namun, saya merasakan bahawa keputusan syura itu tidak memadai dan bermanfaat berbanding idea saya. Bagaimana ya? Kerana idea saya itu jika dalam situasi tersebut nampak sudah mantap...dan jauh lebih baik.

Jikalau idea tersebut lebih baik, mungkin perlu diperkemaskan cara berhujah. Apa = idea, Bagaimana = cara berhujah. Kedua-duanya perlu diperkasakan.

Apa pun, syura merupakan prinsip Islam dan keputusan syura perlu ditaati, walau ia bertentangan dengan idea kita. Ia banyak berkait dengan keikhlasan dan kerendahan hati kita. 

Praktikalnya, syuralah medan untuk berhujah sehabis-habisnya, dan setelah keputusan syura dibuat, kita perlu menjadi agen kepada meyakinkan orang lain dengan keputusan tersebut.

Tipsnya : Setelah bersyura, jangan cakap-cakap tentang keputusan syura tersebut. Itu adalah pintu syaitan.
_____________________________________________________________________________________________________________

Maka, jelaslah fungsi syura dalam sesuatu saf itu. Dan itulah salah satu kekuatan saf. Tanpanya, suatu saf tidak akan dapat berdiri kukuh dan utuh.


Lihat sahaja Ikhwanul Muslimin. Pemilihan barisan pimpinan Maktab Irsyad (lebih kurang seperti Jawatankuasa Pusat) dan Mursyidul Am yang ke-8 berlangsung dengan tertib beberapa bulan dahulu. Ini bukti sistem syura berfungsi dengan sebaiknya dalam Ikhwan. Kerana prinsip tsawabit (ketetapan) yang diamalkan oleh para qiyadah dan ahli-ahli Ikhwan dari dulu hingga sekaranglah yang membolehkan mereka tetap kekal kukuh sebagai salah suatu harakah Islamiyah terulung di dunia pada masa kini, 82 tahun selepas ditubuhkan oleh Imam Hasan al-Banna.

Nota: Diri ini masih belajar. Jika ada pandangan yang tidak bersetuju, silalah berikan ya.
Moga Allah membantu kita semua. Amin.

0 comments: