Bismillahirrahmanirrahim dan assalamualaikum.
(Catatan: Ini adalah siri kedua daripada pengamatan diri tentang kekuatan saf, berdasarkan pengamatan sendiri, kajian yang tidak seberapa, atau pengalaman sendiri yang masih 'muda' dalam arena ini. Diri ini masih belajar, maka jika tersalah, sila tegur ya. Post ini adalah sekadar pandangan peribadi tentang tajuk. Diulang, pandangan peribadi. Sama-samalah kita belajar ya.)
Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah Allah, supaya mendapat rahmat. [Al-Hujurat, 49 : 10]
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa salah satu kekuatan umat Islam yang telah terbukti dari zaman dahulu lagi ialah ukhuwwah Islamiyah, tanpa mengira sempadan geografi dan bangsa.
Daulah Madinah, ia berjaya kerana semangat ukhuwwah dan penyatuan antara Muhajirin dan Ansar. Siapa sangka, baru sahaja kenal, namun ada daripada golongan Ansar yang sanggup menceraikan isterinya untuk dinikahkan dengan orang Muhajirin yang berhijrah.
Dalam peperangan Qadisiyyah, 3 sahabat syahid hasil daripada semangat ithar (mementingkan saudara lebih daripada diri sendiri) yang menjulang tinggi. Kehausan dan kecederaan parah tidak mampu merungkaikan ukhuwwah sesama mereka.
Ikhwanul Muslimin, tertubuh hasil ukhuwwah antara Imam Hasan al-Banna dengan para sahabat-sahabatnya dan masih kekal hingga kini. Kini, ukhuwwah yang terbentuk adalah sejagat (alamiyyah).
Muslimin di bumi Gaza, masih kekal bangkit menentang hingga ke hari ini. Mereka tetap kukuh dan teguh di belakang Hamas, meskipun pelbagai mehnah dan tribulasi dihentam ke arah mereka oleh rejim Zionis.
Jikalau hendak disenaraikan, maka terlalu banyaklah contoh di mana kekuatan ukhuwwah itu telah mampu menjana kekuatan dan kehebatan umat Islam dari dahulu hinggalah sekarang.
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." [At-Taubah, 9 : 71]
Dalam saf harakah (gerakan) Islamiyyah, tidak boleh kepentingan ukhuwwah sesama ahli dalam harakah tersebut. Hal ini adalah kerana mereka perlu bekerja bersama-sama, merancang bersama-sama dan bergerak bersama-sama dalam gerak kerja dakwah mereka. Justeru, dengan persefahaman yang baik yang hadir bersama para pendokong fikrah Islam ini, lebih-lebih lagi dalam satu tanzim (organisasi), kesinambungan gerak kerja dakwah akan dapat dicapai.
Justeru, tanpa ukhuwwah yang mantap di kalangan ahli harakah, maka kesemua itu tidak mampu terjadi. Pertelingkahan dan ketidaksefahaman boleh berlaku. Akhirnya, mungkin tidak ada satu apa pun yang mampu diraih, jika mereka tidak rapat langsung sesama sendiri. Lebih buruk lagi, fitnah demi fitnah mungkin akan diwujudkan, jika para ahli harakah senantiasa tidak sehaluan dengan orang-orang lain dalam harakahnya, yang akan membantutkan usaha-usaha dakwah, dan mungkin membawa kepada perpecahan dalaman.
Ya Rabb...tautkanlah hati-hati kami....
Ya Allah,
Engkau mengetahui bahwa hati-hati kami ini telah berkumpul di tempat ini karena mengasihi-MU
Bertemu untuk memenuhi perintah-Mu; bersatu untuk memikul beban da'wah-Mu.
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu.
Maka eratkanlah ya Allah atas ikatannya, dan kekalkanlah kemesraan di antara hati-hati ini. Tunjukkan kepada hati-hati ini akan jalan-Mu yang haq.
Penuhkan hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung padam.
Lapangkan hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu.
Hidupkan hati ini dengan ma'rifat tentang-Mu.
Dan jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-MU.
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Semoga Allah membantu kita. Amin.
0 comments:
Post a Comment