Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum.
Saya pasti, ramai di kalangan mahasiswa/mahasiswi di mana-mana rata-ratanya berhajat untuk memimpin harakah Islamiah yang mereka yakini pada suatu hari nanti.
Dengan objektif untuk memperkasakan gerakan tersebut.
Dengan objektif untuk melancarkan inqilab (revolusi).
Dengan objektif untuk mengubah senario di kawasan masing-masing.
Dengan autonomi yang mereka akan peroleh sebagai qiyadah (pimpinan) suatu harakah Islamiah, maka mereka boleh melakukan pelbagai usaha, perancangan dan gerak kerja untuk mencapai objektif-objektif tersebut.
Satu persoalan di sini, adakah mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai qiyadah? Atau lebih khusus lagi, adakah mereka mempunyai kapasiti kekuatan iman dan taqwa untuk menerajui harakah Islamiah?
Tanpa kekuatan iman dan taqwa, tidak ke manalah gerakan yang mereka pimpin itu. Maksud tidak ke mana itu ialah tidak akan dapat membawa kebaikan kepada manusia lain. Bahkan boleh tergelincir daripada medan yang hakiki, medan tariqud dakwah (jalan dakwah) yang sebenarnya. Kerana memempin bukan dengan acuan Allah SWT seperti yang diarahkan-Nya.
Allah SWT telah menjelaskan tentang perlunya kita sebagai hamba-Nya bertaqwa kepada-Nya:
"…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya." [Al-Maidah, 5 : 2]
Justeru, dalam “pentakwinan” (pembinaan) kader-kader dakwah menuju ke arah kepimpinan, satu elemen yang penting ialah iman dan taqwa yang mantap dan kuat. Ibadah-ibadah hendaklah menjadi asas kepada pentakwinan itu, agar hubungan mereka dengan Allah senantiasa dekat, dan mereka sentiasa dalam lingkungan hidayah-Nya.
Sultan Muhammad Al-Fateh ialah suatu contoh agung sebagai seorang pemimpin yang bertaqwa. Berbekalkan solat fardhu jemaah, solat sunat rawatib dan qiamullail yang tiada henti sejak baligh, baginda telah berupaya memimpin tentera Islam hingga Berjaya menawan Constantinople pada tahun 1453. Usaha selama hampir 800 tahun diselesaikan oleh baginda. Ini suatu manifestasi agung tentang hubungan erat antara Tuhan dan hamba-Nya.
Hassan al-Banna adalah contoh lain sebagai pemimpin yang bertaqwa. Beliau telah melaksanakan usaha dakwah untuk menyeru manusia kepada Allah SWT dengan penubuhan Ikhwanul Muslimin, dengan mengamalkan cogan kata "Allahu Ghayatuna" (Allah Matlamat Kami). Dan Ikhwanul Muslimin tetap kukuh dan utuh meskipun sudah hampir 82 tahun ditubuhkan. Kini, gerakan beliau masih bergerak cergas dalam usaha dakwah dan tarbiyyah di serata dunia, dengan suatu tanzim (organisasi) yang kukuh, dan kini dipimpin oleh qiyadah yang bertaqwa. Mereka diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, seperti penekanan rejim Mesir yang menangkap ahli mereka dengan sesuka hati, namun masih tsabat (kekal) di jalan dakwah, berbekalkan iman dan taqwa kepada Allah.
Banyak lagi contoh-contoh yang boleh diberikan, tetapi cukuplah dengan 2 contoh di atas.
Justeru, di sini nampaklah betapa pentingnya para mahasiswa/mahasiswi menambahkan bekalan iman dan taqwa kepada Allah, sebagai persediaan untuk menjadi qiyadah pada suatu hari nanti.
Agar harakah Islamiah itu berjaya.
Agar KITA berjaya.
Agar Allah SWT memberkati kerja kita.
Agar kita mencapai mardhatillah.
Biiznillah.
1 comments:
sama-samalah kita berusaha agar usaha yg dilakukan oleh mereka sebelum kita tidak sia2 dan api dakwah tidak akan padam sehingga kita mencapai apa yg kita inginkan atau syahid semasa berusaha ke arahnya!!
Post a Comment