Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum...
Sumber: http://pembinadhl.blogspot.com/2009/10/6-cabaran-menjadi-penulis-blog-muslim.html
Penulis:
Muhammad Nazmie Abd Razak
AJK Biro Media PEMBINA DHL
(Peringatan untuk diri. Kuhadiahkan buat para pejuang yang sama-sama berada di daerah ini. Semoga kita menjadi orang yang bekerja dengan nilai itqan. Berusaha ke arah yang terbaik!)
1. Niat
Keep your intention clean. Pada pengamatan saya, ini merupakan cabaran yang terbesar dihadapi oleh semua penulis blog Muslim. Mari kita sama–sama semak semula niat dan tujuan kita menulis blog. Niat adalah perkara pokok dalam agama. Ia menentukan sama ada sesuatu yang kita lakukan menjadi amalan soleh atau nanti terbuang menjadi satu kesia-siaan.
Untuk menulis entri blog, semestinya penulis menggunakan aset terpenting dalam hidup iaitu jiwanya. Apa yang saya maksudkan dengan jiwa? Itulah dia masa yang Allah S.W.T. peruntukkan untuk kita hidup di dunia. Mencari bahan, menghadam, menulis, melakukan kerja-kerja editorial, menerbitkan serta menyemak semula. Semua ini memerlukan kepada masa. Masa yang ada pada kita sifatnya berkurangan. Susut. Tidak bertambah. Suka tidak suka kita semakin hampir kepada titik akhir saat berada dan menikmati kehidupan di dunia. Maha rugi jika kita tidak berusaha menukarkan masa yang kita ada kepada sesuatu yang kekal abadi dan dapat membantu kita dalam kehidupan sebenar di akhirat nanti. Rugi amat jika kita tidak menukarnya menjadi amal soleh yang menjadi jalan meraih kasih dan rahmat Allah. Hal ini hanya dapat dicapai dengan niat yang ikhlas, semata-mata mengharapkan rahmat dan balasan daripada Allah S.W.T.
Kita selalu diseru dengan seruan untuk menjaga niat dan membetulkan niat kita. Mengapa perkataan MENJAGA dan MEMPERBETUL digunakan? Menjaga niat untuk senantiasa ikhlas adalah pekerjaan yang sangat sukar dan hal ini diakui oleh sekian banyak alim-ulama’ dan orang-orang soleh. Apabila kita disuruh menjaga sesuatu, contohnya, seorang ibu berpesan kepada anaknya agar menjaga baju sekolah, jangan bermain sehingga kotor, maka dengan sendirinya ia memberikan gambaran kepada kita bahawa baju tersebut terdedah kepada pelbagai jenis kotoran dan boleh dikotori. Begitu juga halnya dengan niat manusia. Ia terdedah kepada pelbagai kotoran, noda dan dosa dan ia BOLEH dikotori dan dinodai. Pelbagai bentuk lintasan hati, pujuk rayu nafsu dan syaitan yang sedikit demi sedikit memesongkan niat walaupun pada asalnya ia bersih dan lurus.
Lalu apabila berlaku perkara ini, hendaklah seorang muslim itu berusaha untuk meluruskan kembali niatnya sekiranya ia terpesong, membersihkannya kembali sekiranya ia kotor dan mensucikannya kembali jika ia ternoda. Jika pada baju; debu, tanah, cat, darah, najis dan hitam arang boleh jadi punca kekotoran, pada niat pula; keinginan-keinginan duniawi – populariti(mahu melihat dirinya popular seperti blogger-blogger terkenal), diminati/digilai banyak gadis/jejaka, mendambakan imbalan dunia seperti wang, pangkat, dan lain-lain subjek berupa materi; bisa menjadi kotoran yang menodai kesucian niat seorang manusia. Lalu kita perlu kepada tazkirah(peringatan) dan tarbiyah(pendidikan) yang berterusan kerana selama kita hidup, selama itu kita sentiasa memasang pelbagai niat dan niat ini selamanya perlu dijaga.
Sebagai manusia biasa, niat kita tidak akan tiba-tiba menjadi ikhlas tanpa hidayah dan usaha berpanjangan daripada pihak kita. Jangan meninggalkan satu-satu amalan hanya dengan alasan kita masih belum ikhlas. Jika amalan itu baik, maka kerjakanlah! Dan dalam masa yang sama belajarlah erti keikhlasan semasa kamu mengerjakannya. Baik bagi seorang penulis blog muslim atau muslim pada pekerjaan mereka yang lainnya; niat amat penting!
2. Benar
Apabila kita menulis, ada pula yang membacanya. Maka berlaku proses pemindahan ilmu, maklumat, informasi atau apa sahaja panggilan kita kepadanya. Dalam selirat jaringan sesawang di alam maya ini, lambakan ilmu menjadi ancaman kepada orang yang malas dan tidak mahu ambil peduli tentang kesahihan ilmu yang diperolehnya.
Penyakit ‘copy and paste’ tidak hanya menyerang penulisan ilmiah di institusi pendidikan, malah turut meresap menjadi modus operandi dalam mendapatkan ilmu pengetahuan di zaman ini. Mengharapkan semua orang mempunyai kesedaran dan keseriusan dalam memastikan kesahihan ilmu yang mereka peroleh menghampiri mustahil. Maka, para penulis blog, orang-orang yang menyajikan pelbagai jenis makanan beserta lauk-pauk kepada minda dan rohani pembaca perlu mengusahakan perkara ini. Menulis perlu dengan ilmu. Ilmu diperoleh melalui pembacaan, menghadiri majlis-majlis ilmu, mendengar kuliah-kuliah di radio, atas talian(seperti di youtube dsb.). Hal ini sangat penting kerana orang yang tiada apa-apa tidak akan dapat untuk member apa-apa. Untuk mengisi kita perlu berisi.
Tetapi perlu juga diingatkan; tidak mungkin kita akan habis penuh mengisi ‘ruang ilmu’ kita. Pencarian ilmu tidak ada penghujungnya. Tiada noktah. Maka tiada gunanya kita menunggu untuk mendapatkan kelulusan tertinggi dalam ikhtisas akademik, dilantik menjadi mufti, baru kita ingin berkongsi ilmu. Sebaliknya berkongsilah sekadar kemampuan kita. Seiring dengan usaha kita menambah pengetahuan yang kita ada. Pilihlah topik yang kita punya ilmu pengetahuan tentangnya. Bukan menulis secara sembarangan.
Ingat, yang ingin kita sebarkan adalah kebenaran, bukan kebatilan. Yang ingin kita peroleh adalah pahala dan redha, bukannya dosa dan murka. Jadilah orang yang benar dan membenarkan perkara yang benar walaupun kadangkala kebenaran itu rasanya tidak seenak kebatilan. Kerana jika batil itu enak, enaknya hanya sementara. Ia akan bertukar menjadi sepahit-pahit perkara di akhirat. Sebaliknya kebenaran itu selalu akan menjadi manis semasa di dunia lagi(syahid, kemenangan Islam) dan kemanisannya berterusan hingga ke negeri kekal abadi nanti.
3. Amali
Walk the talk. Cabaran ini selalu kita lupakan. Allah menempelak dalam al-Quran akan golongan yang menyeru kepada kebaikan sedangkan mereka melupakan diri sendiri. FirmanNya:
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"
(Al-Baqarah 2: 44)
Segala seruan dalam bentuk visual(video, teks) mahupun audio(MP3 lagu, ceramah dsb.) dalam blog sampai kepada panca indera kita terlebih dahulu. Seharusnya kita menjadi orang yang pertama-tama mengambil ‘ibrah(pengajaran) daripada pesan dan nasihat serta seru-seru yang kita paparkan di blog kita. Sewajarnya kitalah insan yang berusaha mengamalkan apa yang kita kongsikan dengan sidang pembaca blog atas talian.
Bukankah kita serukan apa yang kita imani(percaya)? Bukankah iman itu dibenarkan dengan amalan? Jika kita sendiri tidak beramal, maka jatuhlah kita ke dalam gaung kerugian bersama-sama dengan kelompok manusia yang melakukan perkara sepertinya; menyeru manusia lain tetapi diri sendiri terabai. Bukankah jalan yang kita pilih ini pertama-tamanya sebagai usaha islah (pembaikan) diri kita sendiri? Takutlah kepada peringatan Allah itu. Semoga kita menjadi golongan beramal dengan apa yang kita katakan.
4. Kualiti
Blog adalah medium masa kini yang menjadi cerminan kepada keperibadian seseorang. Ia menjadi duta digital yang mewakili individu mahupun organisasi. Ia adalah wajah kita dan mahu tidak mahu menjadi sebahagian daripada wajah agama(pada persepsi umum). Tanggapan pertama (first impression) terhasil dengan melihat sepintas lalu laman sesawang ini. Menghasilkan penulisan dan lain-lain karya di blog seorang muslim bukanlah satu perkara yang sepatutnya dilakukan dengan wewenang(sesuka hati) apatah lagi secara semberono. Apatah lagi blog seorang Muslim boleh sahaja dilayari oleh orang-orang bukan Islam yang sedang mencari-cari kebenaran. Ia juga adalah panji-panji kita di medan pertempuran maya ini. Terlalu banyak blog dengan pengisian yang memesongkan manusia menjauh dari Allah. Kita perlukan ‘sesuatu’ supaya di hadapan orang-orang kuffar kita boleh berasa ‘izzah(megah). ‘Izzah dengan Islam yang menjadi identiti blog kita. Kualiti; penilaiannya berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain.
Mungkin kita boleh melihat beberapa aspek umum yang terkandung pada sisi ini:
-Isu
-Susunan isi/Pengolahan
-Pemilihan/kesahihan maklumat dan fakta
-Gaya bahasa/pemilihan perkataan
-Tanda bacaan/ejaan/tatabahasa
-Rujukan (jika ada-artikel yang diambil daripada laman lain perlu diberikan kredit sebagai tanda profesionalisme, hormat, jujur dan terima kasih kepada empunya artikel berkenaan)
-Kekerapan posting artikel(tidak terlalu lama jaraknya hingga menyebabkan pembaca hilang minat untuk selalu menziarahi blog kita).
Mungkin kondisi yang tersenarai masuk dalam kategori ideal. Sekiranya ya, maka berpeganglah dengan kata-kata ini: “Tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua.” Berbuatlah mengikut keupayaan diri.
5. Akhlak
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia. Tanpa akhlak, manusia seperti binatang, melanggar segala sesuatu dan tidak menghiraukan kesannya. Tiada lapangan yang terkecuali daripada adab termasuklah bidang penulisan dan ber-blog.
Dalam kes ini, kuncinya adalah pada BAHASA. Bahasa adalah alat untuk menyampaikan pemikiran kita. Pemilihan kosa kata dan penggunaan bahasa boleh membezakan antara penulis-penulis blog. Bila kita menulis, kita ingin pembaca menerima sedikit-sebanyak input (nasihat, ilmu dsb.) yang kita muatkan dalam setiap entri kita. Mungkin ia berbentuk peringatan(sesuatu yang pernah diketahui pembaca, dan diulang-hidang oleh kita dengan nafas baru). Mungkin juga ia adalah input baru yang segar dalam usaha kita mengislahkan masyarakat umum. Maka, kita perlu memenuhi satu pra-syarat yang kadangkala kita terlepas pandang. Itulah apa yang saya istilahkan sebagai politik jiwa atau psikologi.
Cuba anda bayangkan; sang A yang mahu memberikan sepotong kek kepada si B yang sedang kelaparan. Sang A punya niat yang murni supaya kelaparan B akan hilang dengan asbab pemberian kek tersebut. Sebaik bertemu si B, sang A melemparkan kek itu ke lantai seraya berkata:
“HOI, AMBIK NI! DAH LAPAR TAK TAHU NAK PERGI BELI?! TUNGGU ORANG BAGI PULA, MENGADA-NGADA! KAU INGAT ORANG KESIAN SANGAT DENGAN ENGKAU?! SEKARANG JILAT, JILATLAH KEK TU!!”
Dalam masa yang sama niatnya dirasakan sang A masih murni; mahu mengubat kelaparan si B.
Ironi bukan?
Begitulah lagaknya penulis blog yang mahu menyatakan kebenaran, menyampaikan pesanan, tetapi mengambil kaedah yang saya kira silap untuk sampai kepada cita-cita dan niatnya yang murni itu. Apatah lagi jika subjek yang ditujukan pesanan itu adalah saudara seakidah dengannya. Tiada akhlak. Tidak beradab. Membelakangkan hikmah. Marilah kita sama-sama memperbaiki diri. Moga dengan usaha kita menjadi pengendali blog yang berakhlak, Allah memperkenan mengampunkan dosa-dosa kita.
6. Istiqamah
Kelangsungan dalam beramal walaupun sedikit adalah satu anjuran dalam agama Islam. Turun naik semangat dalam mengendalikan blog juga merupakan perkara yang perlu dihadapi oleh para pengemudi blog Muslim. Bagi yang menulis tanpa matlamat jelas, maka kemungkinan untuk terhenti di tengah jalan adalah tinggi. Blog-blog terbiar kadangkala menjadi isu yang mengusik jiwa pengendalinya. Mungkin ada beberapa perkara yang boleh saya kongsikan untuk menghadapi perkara seperti ini:
-Niat perlu senantiasa perbaharui dan bebas daripada kongkongan asbab keduniaan-kerana yang di dunia tidak kekal, hilang sebab, hilang usaha.
-Himmah(Keazaman) yang tinggi-bertekad dan meletakkan target peribadi untuk mengemaskini blog
-Ilham atau idea kadangkala perlu dijana, tidak datang sendiri. Banyakkan membaca, berfikir serta merenung kejadian di sekeliling kita.
-Jika blog sudah terbiar untuk satu tempoh yang agak panjang, rasa malas dan bosan akan bertumpuk-tumpuk. Untuk itu, bolehlah kiranya kita menukar appearance atau penampilan blog kita (dengan mengenakan tema baru misalnya). Semoga dengan itu kita juga akan memotivasi diri kita. Seakan-akan melihat ‘wajah baru’. Kemudian barulah perlahan-lahan menambah kandungan blog.
-Berdoa agar Allah memberikan kita kekuatan untuk terus beramal dalam lapangan ini.
2 comments:
tahniah2..post yg sgt menyentuh 'realiti' penulis blog muslim..=)huhu
stuju2..mmg perkara ni sgt penting utk peringatan semua..
(reflect diri kembali.ya.sentiasa betulkan niat)
wallahualam...
sbg penulis (atau lebih tepat 'pengcopy'), lagi ar kene reflect kpd diri sndri... :(
Post a Comment