Perjalanan Ini

Perjalanan Ini

Koleksi

Tuesday, January 4, 2011

Taubat itu Kemenangan

Bismillahirrahmanirrahim...dan Assalamualaikum.

Lama sungguh tidak menulis di sini :)
Moga semua dalam keadaan sihat sejahtera.

----------------------------

Manusia, lelaki khususnya, dicipta dengan pelbagai sifat yang mewarnai dirinya. Jika kita berbicara tentang salah satu sifat itu, lelaki, biasanya tidak mengenal erti 'kalah'. 'Kalah' di sini bermaksud dalam sebahagian, kebanyakan atau dalam apa-apa sahaja situasi yang dihadapi, dia tetap akan mencari jalan untuk menyatakan bahawa dia itu berada di pihak yang benar, meskipun sudah terang-terangan dia melakukan kesalahan.

Jika dinasihati, dia tidak mahu mendengar.
Jika dimarahi, dia membalas dengan magnitud yang lebih tinggi.
Jika dia menang, barulah dia akan berpuas hati.

Itulah dia sikap EGO.

Hasil daripada sikap ego demikian, terdapat manusia yang senantiasa melakukan kesalahan. Bukan kepada manusia mahupun binatang semata-mata. Tetapi lebih dahsyat dari itu. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan itu mampu untuk menggerakkan alam untuk bersatu menentang jiwa-jiwa mereka yang maha kerdil itu.

Itulah dia kesalahan kepada SANG PENCIPTA, Allah SWT.

Alam semuanya tunduk kepada-Nya, dan ini bermakna jika anda melakukan suatu kesalahan kepada Penciptamu, maka anda sebenarnya sedang mengundang bencana daripada alam yang tidak putus-putus bertasbih kepada-Nya.

Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dialah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [As-Shoff, 61 : 1]

Di sebalik segala kemungkaran tersebut, ada sebilangan yang menyedari hakikat kesalahan yang mereka lakukan. Mereka menyesal. Mereka takut. Mereka menangis. Tetapi, mereka berputus asa untuk kembali ke jalan kebenaran. Mengapa? Kerana mereka merasakan bahawa dosa yang mereka lakukan kepada Sang Pencipta itu terlalu banyak sehinggakan terasa amat mustahil untuk diampunkan. Mereka merasakan bahawa mencari keampunan Sang Pencipta itu ibarat mengharapkan tumbuhnya pepohon anggur di tengah-tengah padang pasir yang panas membara.

Sebenarnya, kita tidak perlu bersikap demikian. Kedua-duanya jangan.
Kita tidak seharusnya ego kepada Sang Pencipta.
Juga, kita tidak seharusnya berputus asa kepada Sang Pencipta.


Kerana, Dia sebenarnya menunggu hamba-hamba-Nya kembali pada-Nya, dengan rahmat-Nya yang luas meliputi seluruh langit dan bumi.

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. [Ali Imran, 3 : 133]

Ingat, Allah SWT bukan seperti kita. Andai terdapat manusia lain yang melakukan kesalahan kepada kita dan meminta ampun kepada kita, tidaklah begitu mudah kadang-kala untuk kita mengampuni kesalahan orang tersebut. Bahkan, kita mungkin menyimpan dendam kesumat di dalam dada kita terhadap orang tersebut. Tetapi, Allah SWT itu Maha Pengampun. Ya, Maha Pengampun. Dia menanti kita!

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. [Ali Imran, 3 : 135]

Dan ke manakah kesudahan bagi mereka yang kembali pada-Nya? Mudah sahaja.

Di sebuah tempat yang tidak pernah mampu difikirkan oleh akal manusia yang terbatas ini.
Di sebuah tempat yang keindahannya tiada tandingannya.
Di sebuah tempat yang di dalamnya hanya ada bahagia.

Itulah dia SYURGA.
Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal. [Ali-Imran, 3 : 136]
-------------------------

Anda merasakan bahawa anda manusia paling bersalah kepada Sang Penciptamu dalam dunia ini? Jangan putus harapan. Kerana harapan itu masih ada.

Buanglah egomu kepada-Nya, dan Dia menantikan kepulanganmu pada-Nya.

Kembalilah kepada-Nya, dan Dia akan memberikan kemenangan kepada dirimu di hari yang tiada lagi naungan selain daripada naungan-Nya...

__________________

Kamal Haziq,
Manchester,
Anggaran jam 1.00 am, 4 Januari 2011 M / 29 Muharram 1432 H.

0 comments: