Perjalanan Ini

Perjalanan Ini

Koleksi

Thursday, February 10, 2011

Tawakal

Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum.

Terbitnya mentari pada setiap pagi merupakan suatu manifestasi agung tentang harapan. Harapan bahawa hari itu akan menjadi lebih baik berbanding semalam. Harapan bahawa hari itu akan membuahkan hasil yang terbaik. Harapan bahawa perjalanan hidup pada hari itu akan dihadapi dengan kejayaan. Dan harapan bahawa hari semalam yang suram dapat dipadamkan selama-lamanya.
Seperti itulah seorang mukmin itu seharusnya. Dia senantiasa hidup dengan harapan, dengan pengharapan! Kerana harapan itu adalah sebuah kehidupan yang hidup. Dia tidak langsung mengikat dirinya dengan suatu istilah yang rendah lagi hina - berputus asa. Itu semestinya tidak boleh wujud dalam kamus kehidupan seorang mukmin.
Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir [Yusuf, 12 : 87]
Kemudian, kepada siapakah seseorang mukmin itu berharap? Oh tidak, bukan kepada rakannya, kerana boleh jadi rakan tersebut meninggalkan dirinya tatkala sedang kesusahan dan ketika dirinya tidak dapat memberikan manfaat kepada rakannya itu. Bukan juga kepada pensyarahnya, kerana pensyarah tersebut tidak lagi dapat membantu andai dirinya sudah memasuki dewan peperiksaan. Bukan juga kepada doktornya, kerana boleh jadi doktor tersebut tidak mampu untuk merawat penyakitnya tatkala sudah kronik.
Jadi, kepada siapakah sebenarnya mukmin itu meletakkan pengharapan itu sebenarnya? Pernahkah dia memerhatikan pakaian yang dipakainya? Pernahkah dia memikirkan akan makanan yang dimakannya? Pernahkah dia menghargai erti mempunyai ibu dan bapa? Daripada siapakah datangnya kurniaan-kurniaan itu? Apakah dia tidak berfikir?
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan [Ar-Rahman, 55 : 13]
Manusia sememangnya zalim. Zalim dari segi tidak meletakkan Allah di tempat-Nya yang tertinggi. Sentiasa meletakkan pengharapan kepada yang lain selain daripada-Nya. Atau dari satu sudut yang lain, dia berputus asa dalam mengharungi kehidupan ini, dan merasakan bahawa kehidupan ini tiada makna sama sekali. Ketahuilah, kedua-duanya salah sama sekali.
…kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya [Ali Imran, 3 : 159]
Allah SWT senantiasa menanti hamba-hamba-Nya untuk merintih kepada-Nya. Allah SWT senantiasa membuka peluang kepada hamba-hamba-Nya untuk meminta apa sahaja yang terbuku di kalbu. Dan ingatlah, Dialah yang paling mengenali kita kerana Dialah yang menciptakan kita. Seperti seorang engineer yang akan paling mengenali suatu sistem mesin yang diciptakannya sendiri, seperti itulah Allah mengenal kita.
Itulah dia harapan yang sebenar-benarnya. Harapan bersandarkan kepada Allah SWT. Bukan kepada manusia, bukan kepada makhluk. Dan bukan pula tiada langsung harapan. Itulah namanya tawakal.
Jadi, andai anda mahukan keputusan yang terbaik dalam peperiksaan, usahalah, kemudian mintalah dan bertawakallah kepada-Nya. Insya-Allah Dia akan memberikan yang terbaik. Jika anda mahu memilih pasangan untuk dijadikan motivasi dalam perjuangan, mintalah dan bertawakallah kepada-Nya. Insya-Allah Dia akan mengurniakan penyejuk mata dan penenang kepada dirimu.
Sesungguhnya, harapan itu masih ada.

0 comments: